Thailand catat 33 kes baharu, tiga kematian

BANGKOK, 12 APRIL – Thailand telah mencatat 33 kes baharu jangkitan COVID-19, yang membabitkan tujuh doktor serta petugas perubatan, dan tiga lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 2,551 dengan 38 kematian sejak penularan wabak itu pada Januari.

Ia adalah angka terendah jangkitan harian yang dicatat pada April dan menyaksikan kemerosotan selama empat hari berturut-turut sejak sejumlah 111 kes dilaporkan pada 8 April.

Thailand telah mencatat peningkatan harian tertinggi pada 22 Mac dengan sejumlah 188 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Mengenai COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata kematian terkini membabitkan dua lelaki rakyat Thailand berusia 74 dan 44 tahun serta seorang wanita berusia 65 tahun. Keadaan kesihatan ketiga-tiga mangsa sememangnya adalah kronik.

Sejak Thailand mengenakan perintah berkurung selama enam jam yang bermula dari 10 malam hingga 4 pagi pada 3 April, beliau berkata

angka kes baharu jangkitan COVID-19 yang dicatat di negara itu terus berkurangan kecuali jumlah 111 kes yang dilaporkan pada 8 April membabitkan 42 rakyat Thailand yang pulang dari Indonesia.

“Kita boleh mengawal situasi ini memandangkan orang ramai kini memberikan kerjasama yang baik bagi mengekang pandemik COVID-19. Bagaimanapun, kita tidak boleh leka. Kita perlu terus mengamalkan jarakan sosial dan duduk di rumah,” kata beliau semasa taklimat harian mengenai COVID-19 di sini hari ini.

Daripada sejumlah 2,551 kes COVID-19, 1,218 telah dibenarkan keluar hospital dan pulang ke rumah masing-masing.

Setakat ini, virus berbahaya itu telah tersebar ke 68 daripada 77 wilayah di negara itu dengan Bangkok mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 1,294 diikuti Phuket (176), Nonthaburi (148), Samut Prakan (106), Yala (82) dan Pattani (77). – Bernama