BANGKOK, 17 MEI – Thailand melaporkan 9,635 kes COVID-19 baharu, termasuk 6,853 kes melibatkan banduan, dan 25 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir ketika kerajaan terus berusaha membendung gelombang jangkitan ketiga.
Ia merupakan jumlah harian tertinggi sejak pandemik bermula pada Januari tahun lalu. Setakat ini, Thailand mencatatkan 111,082 kes dan 614 kematian.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata pegawai kesihatan melakukan pengesanan kes aktif di lapan kemudahan penjara dengan lima di Bangkok, masing-masing satu di Nonthaburi, Chachoengsao dan Chiang Mai bermula 1 Mei hingga 16 Mei.
Lebih 24,000 tahanan dan pegawai telah disaring dengan 10,748 ujian positif COVID-19 sementara 2,235 lagi menunggu keputusan ujian mereka.
“Pengesanan kes aktif di penjara di seluruh negara akan diteruskan,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, hari ini.
Taweesin berkata, kerajaan akan menyediakan penjagaan kesihatan yang mencukupi kepada semua banduan dan tahanan di penjara seluruh negara.
“Setakat ini, semua pesakit menerima rawatan di hospital penjara dan hospital medan. Pesakit yang serius dimasukkan ke hospital,” katanya. – Bernama