Thailand catat kematian pertama COVID-19

BANGKOK, 1 MAC – Seorang pekerja runcit lelaki berusia 35 tahun menjadi korban pertama akibat jangkitan virus COVID-19 di Thailand kelmarin (Sabtu), kata Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Suwanchai Wattanayingcharoen.

Beliau berkata lelaki itu mengalami demam denggi sejak akhir bulan Januari dan kemudian didiagnosis telah dijangkiti virus maut COVID-19 sebelum dipindahkan ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura pada 5 Februari.

“Pesakit kemudian diuji negatif bagi COVID-19 sejak 16 Februari, bagaimanapun, jangkitan virus berbahaya itu telah melemahkan keadaan kesihatan mangsa sehingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ yang membawa kepada kematiannya,” katanya semasa taklimat harian mengenai COVID-19 hari ini.

Mangsa meninggal dunia di Pusat Penyakit Hospital Chulalongkorn pukul 6:25 petang (waktu tempatan) pada Sabtu.

Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan akan mengkaji dengan lebih lanjut punca kematian lelaki itu.

Para pegawai kesihatan memakai topeng muka di tengah-tengah kebimbangan penularan wabak COVID-19, memeriksa suhu badan anggota polis sebelum perhimpunan antikerajaan di Bangkok pada 1 Mac. Bangkok pada Sabtu telah mengumumkan korban pertama virus terbabit. – AFP

Sementara itu, Suwanchai berkata seorang pesakit batuk kering (TB) berusia 70 tahun yang didiagnosis dengan COVID-19, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan masih dirawat di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura.

“Para doktor kini memantau rapi keadaannya,” kata beliau.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 42 kes COVID-19 yang disahkan dengan 30 daripadanya telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 11 masih menerima rawatan.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak (FA) Thailand telah mengarahkan semua aksi liga Thailand dalam Divisyen 1 hingga 4 berlangsung di stadium tanpa peminat bermula 7 hingga 31 Mac dalam usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, semua perlawanan akan disiarkan secara langsung.

Jurucakap FA Thailand Patis Supapong berkata keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Awam mengisytiharkan COVID-19 sebagai penyakit berjangkit yang berbahaya. – Bernama