Thailand deportasi tiga banduan Iran

BANGKOK, 26 NOV – Thailand hari ini mengesahkan ia mendeportasi tiga warga Iran yang merupakan pengkomplot serangan bom di Bangkok pada 2012, dalam satu pengumuman yang dibuat selepas Tehran membebaskan pensyarah Australia-Britain yang dipenjarakan atas dakwaan mengintip.

Jabatan penjara negara itu mengatakan dua lelaki – Masoud Sedaghatzadeh dan Saeid Moradi – dipindahkan manakala banduan ketiga, Mohammad Khazaei (gambar bawah) diberikan pengampunan diraja pada Ogos lalu.

Pegawai Thailand tidak mengaitkan secara terang-terangan pemindahan ketiga-tiganya dengan pembebasan pensyarah, Kylie Moore-Gilbert yang kembali ke Australia selepas dua tahun ditahan di Iran atas dakwaan pengintipan.

Namun TV Iran kelmarin mengatakan bahawa Moore-Gilbert adalah pertukaran bagi tiga warga Iran itu.

Ketiga-tiga banduan dibebaskan Thailand itu, sebelum ini dipenjarakan atas komplot bom yang dikaitkan Israel dengan serangan demi serangan ke atas diplomatnya di seluruh dunia.

Ia berlaku pada Hari Valentine 2012 apabila letupan besar meledakkan bumbung rumah di pinggir bandar Bangkok selepas bom dikatakan secara tidak sengaja diletupkan di dalamnya. – AFP