Thailand dijangka tarik balik perintah berkurung

BANGKOK, 10 JUN – Thailand dijangka menarik balik perintah berkurung waktu malam untuk tempoh percubaan selama 15 hari, namun darurat masih dikuatkuasakan, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thailand, Dr Taweesin Visanuyothin hari ini berkata tempoh percubaan itu penting kerana ia menjadi penentu kepada masa depan Thailand dalam mendepani wabak dan bagaimana merancakkan kembali ekonomi.

“Percubaan selama 15 hari itu sebagai medan ujian untuk menilai tingkah laku masyarakat serta reaksi mereka dan melihat apakah gelombang kedua jangkitan berlaku selepas dua minggu,” kata Taweesin.

Beliau berkata tarikh bila tempoh percubaan itu akan dilaksanakan masih belum diputuskan kemungkinan bermula Jumaat.

Perintah berkurung kini dikuatkuasakan di seluruh Thailand dari 11 malam hingga 3 pagi.

Thailand hari ini menyaksikan empat kes import COVID-19 membabitkan mereka yang baru pulang dari India, Pakistan dan Madagascar. – Bernama