Thailand kecualikan kuarantin pelancong bervaksin 46 negara

BANGKOK, 22 OKT – Thailand bakal menyambut ketibaan pelawat yang lengkap vaksin COVID-19, dari 46 negara dan wilayah berisiko rendah termasuk Malaysia yang akan dikecualikan menjalani kuarantin mulai 1 November.

Pelawat dari negara dan wilayah yang dikecualikan kuarantin wajib termasuk Australia, Kemboja, China, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Arab Saudi, Singapura, Amerika Syarikat, dan United Kingdom.

Perdana Menteri Prayuth Chano-cha berkata sebelum ini hanya 10 negara dimasukkan ke dalam senarai negara dan wilayah berisiko rendah, tetapi kini sudah bertambah kepada 46 negara.

“Kita perlu bertindak lebih pantas. Jika kita menunggu sehingga semuanya sempurna, kita mungkin sudah terlambat. Pelancong boleh memutuskan untuk berkunjung ke negara lain,” kata Prayuth menerusi laman Facebook rasminya pada Khamis malam.

Awal bulan ini, Prayuth berkata pelan membuka semula pintu negara untuk negara-negara berisiko rendah adalah “langkah pertama yang penting” untuk menjana kembali punca pendapatan.

Pelancong berdiri di pantai Bang Tao di Phuket, selatan Thailand sambil menikmati waktu senja, 22 Oktober. Thailand mempertingkatkan pelan pembukaan semula negara kepada pelancong asing, mengecualikan kuarantin mandatori bermula 1 November kepada pelancong 46 negara. – AP

Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) akan memuktamadkan senarai negara dan wilayah. Senarai itu akan dikemas kini pada 1 Dis dan 1 Jan.

Di bawah pengaturan perjalanan bebas kuarantin, pelancong lengkap vaksinasi yang tiba menerusi perkhidmatan udara dan diuji negatif COVID-19 bebas mengunjungi provinsi lain di negara ini.

Menurut Kementerian Luar, pengembara mesti lengkap divaksin, sekurang-kurangnya 14 hari sebelum melakukan perjalanan. Mereka mesti tinggal di negara dan wilayah yang layak sekurang-kurangnya 21 hari berturut-turut.

Sejurus tiba di Thailand, mereka perlu mengambil ujian RT-PCR dan perlu menunggu keputusan di hotel terpilih dalam tempoh sehari semalam atau sehingga keputusan negatif diperoleh.

Bagaimanapun, pelancong yang tidak divaksin dan tiba dari negara yang tidak termasuk dalam senarai perlu menjalani kuarantin 10 hari di hotel Kuarantin Alternatif (AQ) dengan keputusan ujian RT-PCR negatif dalam tempoh 72 jam sebelum melakukan perjalanan.

Mereka perlu menjalani dua ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelapan atau kesembilan.

Mulai 1 Nov, semua pelancong yang memasuki Thailand wajib membeli insurans perubatan dengan perlindungan minimum US$50,000 dan mempunyai keputusan ujian RT-PCR COVID-19 negatif dalam masa 72 jam sebelum melakukan perjalanan. – Bernama