Thailand keluarkan kanabis dari senarai narkotik

BANGKOK, 26 NOV – Lembaga Kawalan Narkotik Thailand memutuskan mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik, kategori 5 bagi membolehkan penggunaan lebih meluas untuk tujuan perubatan, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Perkara itu diumumkan Setiausaha Tetap Kesihatan Awam, Kiarttiphum Wongjit dan Ketua Setiausaha Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Paisan Dankhum pada satu taklimat media. Lembaga kawalan itu memutuskan untuk mengeluarkan daun, batang, tangkai dan akar kanabis termasuk Kancha dan Kanchong daripada senarai narkotik. Langkah itu merintis jalan membolehkan kanabis digunakan untuk tujuan perubatan serta dalam tekstil, kosmetik dan industri farmaseutikal. – Bernama