Thailand kembali dilanda banjir

BANGKOK, 18 OKT – Hujan lebat melanda bahagian tengah dan timur laut Thailand menyebabkan kejadian banjir baharu hari ini, dengan pihak berkuasa terpaksa melepaskan air ke sungai yang sudah dilimpahi air selepas empangan mencapai kapasiti penuh, dan lainnya berdepan dengan kemungkinan yang serupa.

Pihak berkuasa di wilayah tengah Suphan Buri berkata amaran banjir berkuat kuasa bagi penduduk yang tinggal di sepanjang sungai Tha Chin selepas air dilepaskan ke dalamnya dari empangan Krasiao.

Lebih 38,000 orang penduduk terkesan oleh banjir di wilayah berkenaan setakat tahun ini, menurut pejabat gabenor Suphan Brui.

Semalam, pegawai di wilayah timur laut Nakhon Ratchasima memberi amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran empangan untuk sentiasa memantau situasi semasa ketika paras air meningkat dengan cepat disebabkan turunan hujan lebat. Pentadbiran setempat diarah untuk menyediakan beg berisi pasir dan rancangan pemindahan.

Thailand dilanda banjir berskala besar sejak ribut tropika Dianmu yang melanda bahagian utara negara pada penghujung bulan September, yang disertai oleh hujan monsun. Banjir, terutama di bahagian utara dan tengah, menjejaskan kira-kira 300,000 orang penduduk di seluruh negara dan menyebabkan 14 kematian di 33 buah wilayah. Situasi kembali reda di lebih 24 buah wilayah, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana. – AP

Bahagian tengah dan timur laut Thailand kembali dibanjiri air akibat hujan lebat. – AP