PUTRAJAYA, 28 JULAI – Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta susulan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja di Kompleks Seri Perdana.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menghadiri mesyuarat yang bermula pada pukul 3 petang itu.
Turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing, dengan Amerika Syarikat bertindak selaku penganjur bersama manakala China sebagai pemerhati.
Kedua-dua Kemboja dan Thailand mencapai persefahaman bersama iaitu gencatan senjata serta merta tanpa syarat, berkuat kuasa mulai pukul 12 malam, hari ini.
Ini merupakan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan keselamatan.
Jumaat lepas, Anwar telah menghubungi Phumtham dan Manet secara berasingan memohon kedua-dua pemimpin supaya segera melaksanakan gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan pertikaian mereka. – Bernama
