Thailand kesan kes pertama kebarangkalian varian Omicron

BANGKOK, 6 DIS – Thailand hari ini melaporkan kes pertama kebarangkalian varian Omicron, melibatkan seorang lelaki Amerika yang dalam perjalanan dari Sepanyol.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Suakit Sirilak berkata lelaki berusia 35 tahun itu disahkan positif pada 1 Disember dan kini menjalani rawatan di hospital.

Beliau berkata ujian saringan yang dijalankan ke atas lelaki itu menunjukkan 99.2 peratus positif untuk varian Omicron, tetapi beliau akan menjalani ujian lain.

“Lelaki itu telah mengambil langkah berjaga-jaga, jadi tiada kontak rapat dengan kes itu. Bagaimanapun, terdapat 19 orang termasuk kakitangan hotel dan lapangan terbang yang telah berhubung dengan lelaki itu.

“Pihak berkuasa kesihatan sedang menjalankan ujian lanjut terhadap mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Suakit menafikan laporan terdapat pesakit Afrika yang didapati positif Omicron.

“Pesakit menjalani saringan untuk varian Delta,” katanya. – Bernama

Seorang pengawal keselamatan yang memakai pelitup muka berdiri di tepi peralatan untuk memberiksa suhu penumpang di stesen kereta api BTS di Bangkok, kelmarin. – AFP