BANGKOK, 11 JAN – Thailand hari ini mengumumkan kes pertama virus African Swine Fever (ASF) yang dikesan di pusat penyembelihan di wilayah Nakhon Pathom.
Ia pengesahan rasmi pertama negara mengenai penyakit itu.
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Ternakan Sorravis Thaneto berkata satu daripada 309 sampel darah dan swab permukaan yang dikumpul dari 10 ladang dan dua pusat penyembelihan disahkan positif ASF.
“Jabatan Pembangunan Ternakan akan memaklumkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) mengenai penemuan ASF itu,” katanya.
Sorravis berkata pasukan khas dihantar ke kawasan itu untuk mengesan punca penyakit itu.
Sebelum ini, satu agensi berita melaporkan Thailand sudah bertahun-tahun menegaskan kawanan khinzirnya tidak dijangkiti ASF.
Laporan berita itu berkata pihak berkuasa mengaitkan kebanyakan kematian khinzir ternakan berpunca daripada penyakit virus lain,Sindrom Reproduksi dan Pernafasan Porsin (PRRS).
Bagaimanapun, pada 8 Jan, Universiti Kasetsart di Bangkok berkata makmalnya bulan lepas menemui ASF pada seekor khinzir peliharaan yang mati dan dibawa pemiliknya untuk ujian makmal. – Bernama