Thailand kuat kuasa perintah darurat

BANGKOK, 24 MAC – Kerajaan Thailand hari ini meluluskan perintah darurat selama sebulan sekali gus membenarkannya mengenakan langkah yang lebih ketat untuk mengawal koronavirus yang telah menjangkiti ratusan orang di negara Asia Tenggara itu.

Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha berkata Kabinetnya memutuskan perintah darurat akan berkuat kuasa pada Khamis ini.

Tindakan itu memberikan kerajaan kuasa tambahan untuk melaksana perintah berkurung, mengawal media, meleraikan perhimpunan dan mengerah anggota tentera untuk menguatkuasa perintah berkurung. Butir-butir mengenai langkah sebenar yang akan dikenakan bakal dikeluarkan kemudian.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, Prayuth memberi jaminan kepada negara bahawa beliau tidak mengarahkan perintah berkurung pada peringkat ini. Beliau berkata langkah awal akan menumpu pada pengurangan penyebaran penyakit di kawasan berlainan

“Sesetengahnya akan melibatkan kerjasama daripada orang awam, yang lainnya adalah arahan,” kata beliau, menjelaskan bahawa satu keputusan mengenai sama ada mengenakan langkah yang lebih ketat seperti perintah berkurung bergantung pada sama ada orang ramai bekerjasama.

Skrin besar menunjukkan maklumat terkini kes baharu COVID-19 Thailand di sebatang jalan di Bangkok kelmarin. Thailand dijangka menguat kuasa perintah darurat untuk mengekang penularan virus. – AFP

Prayuth menggesa orang awam supaya bertenang dan mengingatkan mereka supaya jangan menyalahgunakan media sosial dan menyimpan stok barangan secara berlebihan, berkata penguatkuasaan akan menjadi lebih ketat sekarang.

Beliau juga menasihat orang supaya tinggal di mana mereka berada dan jangan berkunjung ke kawasan luar bandar, di mana ramai pekerja di bandar mempunyai rumah tetap dan keluarga di sana.

Beliau berkata pemeriksaan dan langkah kuarantin akan dikenakan terhadap mereka yang mengadakan perjalanan, dan mengumumkan kerajaan akan menyediakan pusat pengasingan, hospital dan bekalan perubatan tambahan.

Thailand pada hari ini mengesahkan 106 kes baharu koronavirus, sekali gus membawa jumlah yang dilaporkan kepada 827. Kes baharu termasuk empat kakitangan perubatan. Tiga lagi kematian telah dilaporkan, membawa jumlah keseluruhan kepada empat dalam negara.

Kerajaan Prayuth telah dikritik kerana gagal mengambil tindakan keras untuk memerangi koronavirus memandangkan kes harian bertambah daripada satu digit pada Februari kepada ratusan pada minggu lalu.

Pada minggu lalu, Prayuth menutup semua sekolah, menangguh cuti tiga hari dan membenarkan gabenor wilayah menutup mana-mana tempat perhimpunan. – AP