BANGKOK, 26 MEI – Thailand kuat kuasa kaedah ‘gelembung dan tutup’ di kem pekerja binaan di Bangkok untuk membendung gelombang ketiga penularan COVID-19.
Wakil jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata semua kem pekerja binaan diletakkan di bawah perintah ‘gelembung dan tutup’, satu strategi untuk memantau dan membataskan pergerakan pekerja.
Sehingga kini, di Bangkok terdapat kira-kira 409 kem menempatkan sekitar 62,000 pekerja binaan.
Pihak berkuasa kesihatan telah mengesan kes varian B.1.617 menular dalam kalangan pekerja pembinaan.
“Pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan pengesanan kes aktif untuk membendung COVID-19 daripada terus merebak,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.
Mengenai varian Afrika Selatan (B.1.351), Natapanu berkata sebanyak 11 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Tak Bai, wilayah Narathiwat, selatan Thailand. – Bernama




































