Thailand lanjut sekatan penerbangan hingga 30 April

BANGKOK, 15 APRIL – Thailand melanjutkan lagi tempoh larangan kepada semua penerbangan penumpang antarabangsa dari 18 April hingga 30 April, dalam usaha negara ini untuk terus berjuang mengekang wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Penerbangan Awam Thailand (CAAT) Chula Sukmanop berkata larangan itu dilanjutkan hingga 17:00 UTC pada 30 April.

“Semua permit kebenaran penerbangan yang diberikan sepanjang tempoh itu akan dibatalkan.

“Larangan tersebut telah dikecualikan untuk pesawat negara atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau penerbangan evakuasi dan penerbangan kargo,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Chula berkata, penumpang yang tiba dengan penerbangan yang dikecualikan itu perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dan mematuhi peraturan di bawah Dekri Darurat.

Sekatan penerbangan pertama kali dikuatkuasakan pada 4 April hingga 6 April dan dilanjutkan pada 18 April. – Bernama