Thailand lapor 1 kes baharu setelah 100 hari

BANGKOK, 3 SEPT – Seorang banduan di Thailand telah diuji positif koronavirus dalam kes jangkitan pertama disahkan di negara itu setelah 100 hari tanpa kes baharu, kata pegawai kesihatan hari ini.

Mereka mengenal pasti banduan itu sebagai seorang lelaki berusia 37 tahun yang ditangkap atas penyalahgunaan dadah yang dibawa ke penjara di Bangkok pada 26 Ogos dan diuji positif kelmarin di pusat kesihatan penjara.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha kelmarin telah mengucapkan tahniah kepada negara itu kerana mencapai 100 hari tanpa sebarang kes koronavirus tempatan. Orang terakhir diuji positif adalah pada 24 Mei.

Walaupun Thailand menjadi negara pertama di luar China mengesahkan kes jangkitan pada Januari, ia mengalami impak ringan kesihatan akibat pandemik COVID-19.

Namun ekonominya telah terjejas akibat ketiadaan pelancong asing, yang ditegah daripada masuk ke negara itu dan penurunan dalam sektor pengeksportan. – AP

Seorang lelaki memakai penutup mulut dan hidung di tengah kebimbangan penularan COVID-19, ketika memilih makanan di gerai jalanan di Bangkok pada 3 September. Thailand pada 3 September telah merekodkan jangkitan baharu setelah 100 hari tanpa kes positif. – AFP