Thailand lapor 9 kes baharu COVID-19

BANGKOK, 27 MEI – Thailand melaporkan sembilan kes baharu COVID-19, semuanya melibatkan warganegaranya yang kembali dari luar negara, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,054, kes sejak bermulanya wabak berkenaan pada Januari.

Bagaimanapun tiada kematian yang dilaporkan dalam 24 jam terakhir dan jumlah kematian kekal 57 kes.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata kes baharu itu terdiri daripada enam pelajar yang kembali dari Arab Saudi dengan penerbangan pulang dikendalikan oleh Malaysia.

Beliau berkata pesawat yang membawa pelajar berusia antara 23 dan 33 tahun itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan mereka kemudian menaiki bas ke pusat pemeriksaan Padang Besar di wilayah selatan Songkhla sebelum menuju ke kemudahan kuarantin yang disediakan kerajaan.

“Pusat pemeriksaan Padang Besar mungkin ditutup sementara untuk proses nyah cemar,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Thaweesilp berkata kes baharu lain membabitkan dua pelajar lelaki berusia 18 dan 27 tahun yang kembali dari Amerika Syarikat serta seorang lelaki berusia 34 tahun, seorang tukang urut yang pulang dari Qatar.

Daripada 3,054 kes itu, katanya, sebanyak 1,190 kes adalah pesakit yang mempunyai hubungan rapat dengan kes positif, 284 profesion berisiko, 276 dari stadium tinju, 269 adalah warga Thailand yang kembali dari luar negara manakala 226 dari tempat hiburan.

Setakat ini, terdapat 2,931 pesakit pulih dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 66 masih mendapat rawatan. – Bernama