Thailand lapor rekod kes harian tertinggi COVID-19

BANGKOK, 18 APRIL – Kes COVID-19 Thailand mencecah rekod tertinggi pada Ahad ketika pihak berkuasa sedang bersiap menyediakan ribuan katil tambahan di hospital lapangan di seluruh negara untuk pesakit asimptomatik atau tanpa gejala.

Dalam tempoh 24 jam yang lepas, Thailand melaporkan 1,767 kes baharu COVID-19, lonjakan harian terbesar sejak penularan pandemik itu pada Januari tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 42,352. Dua kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 101 orang.

Ini adalah hari keempat berturut-turut Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes dalam jumlah harian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wussanuyothin berkata daripada 1,767 kes baharu itu, sebanyak 1,765 adalah penularan tempatan termasuk 1,477 mendapatkan rawatan di hospital dan 288 dikenal pasti melalui pengesanan kes aktif sementara dua lagi adalah kes import.

Beliau berkata Bangkok mendahului senarai dengan jumlah kes tertinggi sebanyak 347, diikuti Chonburi (229), Chiang Mai (164), Nonthaburi (100) dan Pra-chuap Khiri Khan (66).

“Sebanyak 13,489 kes COVID-19 dilaporkan dalam gelombang ketiga pandemik itu yang dikaitkan dengan tempat yang menjadi tumpuan pada sebelah malam di Bangkok sejak awal April lalu. Tujuh kematian dilaporkan dalam gelombang terbaru wabak COVID-19 ini,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

“Kerajaan sedar mengenai kebimbangan orang ramai tentang kekurangan katil hospital berikutan lonjakan kes COVID-19. – Bernama

Deretan katil untuk pesakit yang dijangkiti COVID-19 di sebuah stadium yang dijadikan sebagai kompleks untuk menempatkan pesakit COVID-19 di Bangkok. – AFP