Thailand masih belum selamat

BANGKOK, 17 OGOS – Selama 83 hari tanpa jangkitan tempatan COVID-19, tidak menjamin Thailand bebas daripada virus ini, kata ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Suwannachai Wattanayingcharoenchai, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).

Beliau berkata tempoh tanpa jangkitan tempatan tiada kaitan dengan risiko penularan kedua yang datang daripada sekatan pergerakan perniagaan yang dilonggarkan dan kemasukan warga Thailand serta asing termasuk pekerja migran.

Negara seperti Vietnam, Korea Selatan, Jepun dan New Zealand, berdepan risiko gelombang penularan kedua COVID-19, selepas lama tidak mengalami jangkitan tempatan.

Dr Suwannachai berkata “kita mahu mengesan pesakit dengan cepat, merawatnya dan mengekang tahap penularan.” Kementerian Kesihatan akan memastikan tahap penularan dapat dibendung dan pada masa sama memungkinkan kelangsungan ekonomi negara, katanya. – Bernama

Gambar fail pada Mei lalu menunjukkan seorang lelaki berjalan di pantai lengang di Hua Hin. Meskipun 83 hari tanpa sebarang jangkitan, Thailand masih belum selamat, kata ketua pengarah kesihatannya. – AFP