BANGKOK, 7 MAC – Thailand mungkin memasuki Fasa Endemik seawal Julai tahun ini memandangkan situasi COVID-19 bertambah baik berikutan kadar vaksinasi yang tinggi dan sistem penjagaan kesihatan awam yang baik.
Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natanu Nopaku, berkata kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Awam mendapati peralihan kepada Fasa Endemik itu adalah kesan daripada kejayaan kerajaan dalam menangani pandemik.
“Kajian itu menyatakan kepimpinan, pengurusan, sumber manusia, perubatan, kemudahan perubatan dan bekalan vaksin yang baik dan paling penting penyertaan serta dedikasi daripada semua sektor dan masyarakat.
“Status sepatutnya berubah daripada pandemik kepada endemik menjelang Julai tahun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata negara seperti Sepanyol, India dan Amerika Syarikat juga bersiap sedia untuk beralih kepada Fasa Endemik. – Bernama