Thailand nafi bantu Jho Low

BANGKOK, 24 FEB – Kerajaan Thailand memberi amaran akan menyaman parti pembangkang kerana menuduh Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, melindungi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Parti antitentera, Future Forward Party, yang kini diharamkan, mendakwa Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pernah dilindungi oleh Prayut.

Parti ketiga terbesar di parlimen Thailand itu dibubarkan Jumaat lalu melalui perintah mahkamah dan pemimpin utamanya diharamkan menyertai politik selama sedekad.

Semalam, jurucakap parti itu, Pannika Wanich, dalam satu sidang umum menuduh Prayut membenarkan Jho Low dan sekutunya melarikan diri melalui Thailand.

Jho Low dikehendaki di beberapa negara kerana didakwa mendalangi penyelewengan berbilion dolar dana 1MDB.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan Thailand, Narumon Pinyosinwat, membidas kenyataan Pannika semalam, dengan menegaskan semua tuduhan itu tidak benar.

“Tuduhan ini mengelirukan orang ramai, kementerian berkaitan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang dan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat,” katanya di laman Twitter.

Prayut, ketika ditemui pemberita di luar pejabatnya di bangunan kerajaan, kelihatan tidak tergugat dengan tuduhan itu, malah nampak agak ceria bila ditanya mengenai tuduhan Pannika.

“Kementerian berkenaan sedang menyiasat dan jika mendapati tuduhan ini benar, mereka boleh saman,” katanya. Interpol sudah mengeluarkan ‘notis merah’ terhadap Jho Low atas permintaan Singapura sejak 2016, bermakna semua perjalanan ahli perniagaan itu perlu dilaporkan dan melakukan proses ekstradisi individu yang diburu itu. – AFP