BANGKOK, 9 Feb – Biro Kawalan Narkotik Thailand (NSB) akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Malaysia untuk menyoal siasat seorang lelaki yang ditahan mereka baru-baru ini yang disyaki mempunyai kaitan dengan seorang warga Laos yang dikenali sebagai Raja Dadah ASEAN.
Menurut Ketuanya Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, lelaki yang ditahan di Kelantan Isnin lepas didakwa memegang dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand.
Dia mempunyai satu waran tangkap atas dakwaan berkaitan dadah di Thailand di bawah nama Thainya, katanya kepada Bernama, sambil menambah penahanan suspek di Malaysia adalah hasil maklumat yang disalurkan oleh pihak berkuasa Thailand.
Sommai juga tidak menolak kemungkinan NSB akan memohon suspek berkenaan diekstradisi ke Thailand, tetapi perkara itu akan ditentukan oleh Lembaga Kawalan Narkotik.

Menurut beliau, pihak berkuasa percaya suspek mengepalai satu rangkaian penyeludupan dadah di selatan Thailand, yang mengedar dadah yang diterima dari utara dan timur laut negara ini.
Hasrat Thailand untuk menyoal siasat lelaki yang ditahan di Malaysia itu menggambarkan perluasan siasatan Thailand ke atas rangkaian penyeludupan dadah yang dikuasai Raja Dadah ASEAN itu.
Sommai berkata siasatan awal mendapati sebaik sahaja suspek itu menerima dadah dari utara Thailand, rangkaian pengedaran lelaki itu akan menyeludup dadah menyeberangi sempadan Malaysia untuk dihantar ke pihak lain. – Bernama