Thailand rai hari kebangsaan ke-35

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Negara Brunei Darussalam dan Thailand terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang erat dan terus diperkukuhkan setiap tahun menerusi kegiatan perdagangan, lawatan dan pertukaran dua hala antara kedua-buah buah negara.

Bagi memperingati ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara Brunei dan Thailand ke-35, Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan pelbagai acara untuk meraikan ulang tahun berkenaan seperti mengadakan perlawanan badminton persahabatan, sesi latihan, Thailand Grand Fair, pelancaran Buku Panduan Restoran-restoran Thai di Negara Brunei Darussalam dan pelancaran laman Facebook Kelab Sawadee, bagi pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang berminat untuk mengenali makanan serta kebudayaan Thailand.

Pada masa yang sama, kedua-dua buah negara juga menjalin kerjasama yang erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama di bawah Komisen Bersama bagi Kerjasama Dua Hala yang akan meneruskan mesyuaratnya di Brunei pada 2020 serta juga penandatanganan memorandum persefahaman bagi Pengelakan Cukai Berganda, Kerjasama Kebudayaan dan Produk-produk One Tambon One Product (OTOP).

Perkara itu dijelaskan oleh Duta Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul ketika berucap di Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Thailand yang berlangsung di The Empire Brunei, kelmarin.

Hadir mewakili kerajaan Negara Brunei Darussalam di majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof serta isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.

Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kerajaan serta jemputan khas.

PYT Wanthanee Viputwongsakul menambah bahawa kedua-dua buah negara mengukuhkan lagi usaha bersama dalam sektor makanan dan pertanian menerusi memorandum persefahaman bagi pertanian yang sedia ada serta pertukaran lawatan.

Beliau berharap menerusi kerjasama erat itu, akan membawa manfaat kepada Brunei dalam bidang penanaman padi, memperbaiki tanah dan pengurusan air di mana semua itu adalah selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan isteri serta PYT Wanthanee Viputwongsakul bergambar ramai dengan perwakilan-perwakilan daripada negara-negara anggota ASEAN.