Thailand rampas 200,000 topeng muka terpakai

BANGKOK, 4 MAC – Polis Thailand merampas sekurang-kurangnya 200,000 topeng muka terpakai dalam satu serbuan di sebuah rumah di wilayah Saraburi pada Isnin.

Bertindak hasil maklumat orang ramai, polis menyerbu sebuah rumah di Nong Suang dan mendapati enam pekerja sedang sibuk mengasingkan, mencuci dan menyeterika topeng muka terpakai sebelum dibungkus untuk dijual di pasaran tempatan.

Seorang daripada pekerja itu memaklumkan kepada polis, mereka dibayar 1 baht untuk sekeping topeng muka dan seorang pekerja mengitar semula kira-kira 300 hingga 400 topeng setiap hari.

Ketua Polis Wilayah Saraburi, Jeneral Chaiwat Arunwat, berkata tiga ditahan – pemilik rumah berusia 47 tahun dan dua lagi rakan subahat berumur 44 dan 46 tahun.

“Suspek menjual topeng muka terpakai itu setiap satu dengan harga tiga baht. Suspek turut mengaku mengitar semula sekurang-kurangnya 200,000 topeng muka dalam tempoh 20 hari sebelum diserbu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pihak berkuasa merampas semua topeng muka dan menghantar sampel ke Kementerian Perdagangan untuk menentukan dari mana topeng itu berasal.

Disebabkan kekurangan bekalan akibat wabak Covid-19, orang ramai membuat pembelian panik. Ramai mengambil peluang untuk mengaut keuntungan termasuk menaikkan harga topeng muka antara 20 hingga 50 baht sekeping.

Chaiwat berkata siasatan mendapati suspek membeli topeng muka terpakai itu dari sebuah kedai kitar semula di Nong Moo di Wihan Daeng.

“Pihak polis akan terus menjalankan operasi di kedai dan kilang,” katanya.

Sementara itu, pegawai penyiasat Leftenan Kolonel Samran Soreekun berkata ketiga-tiga suspek akan didakwa di bawah Seksyen 343 Kanun Keseksaan (Penipuan Awam), jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga 10,000 baht atau kedua-duanya sekali.

“Pekerja lain termasuk anak pemilik rumah akan menjadi saksi dalam kes itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 43 kes Covid-19, 31 pesakit telah pulih dan 11 sedang menjalani rawatan. Thailand melaporkan kematian pertama akibat Covid-19 pada Sabtu. – Bernama