Thailand rampas 600kg ‘ice’

BANGKOK, 11 OGOS – Pihak berkuasa Thailand merampas 600kg dadah jenis ‘ice’ (methamphetamine) bernilai kira-kira 210 juta baht (RM28.3 juta) di wilayah selatan Narathiwat, dipercayai untuk diseludup ke Malaysia.

Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Narin Busaman, berkata serbuan pada 1 petang (waktu tempatan) kelmarin berdasarkan maklumat dan polis menyerbu sebuah rumah di kampung di Muno, daerah Sungai Kolok, Narathiwat.

Polis menjumpai 600 bungkusan ‘ice’ yang disembunyikan dalam 15 karung guni di bahagian dapur rumah berkenaan.

Kemudian, polis menahan dua suspek seorang lelaki berusia 30 tahun, anak pemilik rumah dan seorang lagi berusia 31 tahun, berhampiran sempadan Thailand-Malaysia.

“Sebaik polis menyerbu rumah itu, kedua-dua suspek yang diupah untuk menghantar dadah berkenaan kepada ejen, bersembunyi dan cuba menyusup ke Malaysia melalui laluan haram. Namun, kami berjaya menahan mereka.

“Siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan tempat transit sebelum dadah berkenaan diseludup ke Malaysia.

“Siasatan dipergiatkan untuk memburu dalangnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Narin berkata, serbuan kelmarin itu susulan sejumlah besar ‘ice’ yang dirampas di Sungai Kolok bulan lalu, dipercayai untuk dihantar ke Malaysia.

“Selepas kami merampas 1.4 tan ‘ice’, kami percaya sindiket dadah akan melakukan cubaan lain untuk memindahkan dadah itu bagi menutup kerugian. Bagaimanapun, siasatan akan terus dipergiat,” katanya. – Bernama