Thailand rampas 62kg dadah untuk pasaran M’sia

BANGKOK, 25 NOV – Kastam Thailand merampas 62 kilogram dadah jenis ‘ice’ atau crystal methamphetamine bernilai kira-kira 37 juta baht yang disembunyikan di dalam kontena dipercayai untuk dihantar ke Malaysia.

Susulan rampasan di sebuah pelabuhan di Bangkok pada Isnin itu seorang lelaki warga Thailand turut ditahan.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Pabean Patchara Anantasilp berkata, bertindak berdasarkan maklumat, operasi bersama dilakukan dan memeriksa satu kontena.

“Hasil pemeriksaan sinar-X pada kontena kami mengesan objek mencurigakan di dalam kontena.

Kami membukanya dan menemui semua dadah berkenaan.

“Pegawai penguat kuasa menemui bungkusan teh mengandungi dadah berkenaan yang disembunyikan di dalam mesin yang sudah rosak dan usang,” katanya pada sidang media.– Bernama