Thailand rancang vaksinasi 50% penduduk 77 wilayah

BANGKOK, 13 SEPT – Thailand merancang sekurang-kurangnya 50 peratus populasi di Bangkok dan 76 wilayah menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang bulan depan sebagai persediaan untuk membuka kembali pintu sempadan negara kepada pelancong.

Timbalan jurucakap Kemen-terian Luar Natapanu Nopakun berkata warga emas, individu yang menghidap tujuh jenis penyakit, wanita hamil dan rakyat Thailand berumur antara 12 hingga 18 tahun akan diberi vaksin.

“Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan menyuntik pelajar berusia 12 hingga 18 tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Kumpulan ini akan menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Universiti Navamindradhiraj di daerah Dusit, mulai 21 September,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Terkini, Thailand telah memberikan 40.27 juta dos vaksin COVID-19 termasuk 27.30 juta dos pertama. – Bernama