Thailand sambung perintah darurat

BANGKOK, 22 JULAI – Thailand akan menyambung perintah darurat negara itu untuk tempoh sebulan lagi sehingga hujung Ogos, sebagai usaha mengekang penularan COVID-19, pada ketika negara itu membuka sempadannya kepada warga asing terpilih, termasuk pekerja asing dari negara jiran sebagai usaha memulihkan kembali ekonominya yang terjejas akibat pandemik itu.

Walaupun negara itu telah ‘sifar’ jangkitan tempatan COVID-19 untuk hampir dua bulan, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional Jeneral Somsak Roongsita berkata, situasi di tempat lain di seluruh dunia masih membimbangkan di mana jumlah kes terus meningkat.

Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha hari ini yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata, CCSA bersetuju membenarkan warganegara asing terpilih dari negara jiran terutamanya Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam dalam industri infrastruktur dan makanan untuk memasuki negara itu.

Selain itu beliau berkata, pelancong perubatan, warga asing menghadiri persidangan antarabangsa dan pameran perdagangan, kru produksi filem luar dan pemegang kad Elite Thailand (mereka yang mempunyai visa untuk tinggal jangka masa panjang dan visa kemasukan entri berbilang) adalah antara yang dibenarkan untuk memasuki negara itu.

Bagaimanapun, tarikh sebenar mereka dibenarkan memasuki semula negara itu, tidak diumumkan.

Penyambungan itu bergantung kepada kelulusan Kabinet pada Selasa. Perintah Darurat masa ini akan berakhir pada 31 Julai.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweeslip Wissanuyothin berkata, kumpulan terpilih dibenarkan memasuki negara itu, termasuklah diplomat dan pelawat perniagaan yang perlu menjalani kuarantin di pusat milik kerajaan selama 14 hari.

Sementara itu, Thailand hari ini melaporkan enam kes baru COVID-19, kesemuanya melibatkan warga Thailand yang pulang dari luar negara dan sedang menjalani kuarantin 14 hari di fasiliti kerajaan. Kes keseluruhan kini berjumlah 3,261 dan dengan jumlah kematian kekal 58 kes.

Enam kes baru melibatkan empat pelajar lelaki warga Thailand yang pulang dari Mesir dan masing-masing seorang wanita dari Amerika Syarikat dan Jerman. – Bernama