Tuesday, September 26, 2023
25.6 C
Brunei

    -

    Thailand sambut kepulangan pelancong ke pantai ‘DiCaprio’

    KOH PHI PHI LEY, THAILAND – Semasa pelancongan terhenti dan dunia dikenakan perintah berkurung, di perairan biru kepulauan Phi Phi Thailand yang indah dan mempesonakan, kebangkitan sektor pelancongan telah dirancang.

    Pelancongan besar-besaran telah membawa kepulauan, yang diabadikan dalam filem Leonardo DiCaprio ‘The Beach’, ke ambang malapetaka ekologi.

    Kini Thailand berharap untuk menjadikan Phi Phi sebagai pembawa standard untuk model pelancongan baharu yang lebih mampan apabila negara itu dibuka semula kepada pelawat selepas penutupan COVID-19 yang sekian lama.

    Berhampiran pulau kecil karang hanya beberapa kilometer dari Teluk Maya – teluk ikonik yang dikelilingi pokok yang menjulang tinggi yang menjadi tempat terletaknya pantai indah dalam filem DiCaprio – ahli biologi marin, Kullawit Limchularat menyelam lapan meter ke dalam air jernih dan melepaskan seekor anak jerung dengan berhati-hati.

    Misinya adalah untuk mengisi semula terumbu karang selepas kerosakan bertahun-tahun berpunca daripada bilangan pelawat yang tidak terkawal, krisis yang menjadi amat teruk sehingga pihak berkuasa terpaksa menutup Teluk Maya pada 2018.

    Lima ekor anak jerung buluh berjalur perang kecil telah dibebaskan, badan berbelang-belang dan ekornya yang panjang bersinar di dalam air.

    Pelancong memasuki teluk Phi Leh di pulau Phi Phi Leh yang indah menggunakan perahu panjang. – AFP
    Ikan berenang melepasi batu karang dalam laut di luar pulau Ko Ma Thailand di pantai Andaman. – AFP

    Tetapi selepas dibesarkan dalam kurungan, ia keberatan untuk berenang di antara ikan badut, barakuda dan penyu.

    “Ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Kami menunggu sehingga mereka mencecah 30 sentimeter untuk memaksimumkan peluangnya untuk terus hidup,” kata Kullawit, yang mengusahakan projek itu bersama Pusat Biologi Marin Phuket.

    “Matlamatnya adalah apabila ia menjadi dewasa, haiwan itu akan tinggal dan membiak di sini untuk membantu menambah semula jumlah spesies itu.”

    Bencana ekologi

    Sebelum pandemik, Taman Laut Negara Phi Phi, dengan pantai berpasir putih dan terumbu karang, menarik lebih dua juta pengunjung setahun.

    Sehingga ia ditutup, keindahan Teluk Maya yang mempesonakan dan kemasyhuran Hollywood menarik sehingga 6,000 orang sehari ke pantainya yang sempit sepanjang 250 meter.

    Tidak dapat dielakkan, begitu ramai orang yang tiba dengan bot bermotor yang bising dan mencemarkan alam tanpa kawalan ke atas bilangan pelancong telah memberi kesan besar terhadap ekologi kawasan tersebut.

    “Jumlah batu karang telah berkurangan lebih daripada 60 peratus dalam masa lebih 10 tahun sahaja,” kata Thon Thamrongnawasawat dari Universiti Kasetsart di Bangkok.

    Seawal 2018, Thon menaikkan penggera dan mengarahkan pihak berkuasa supaya menutup sebahagian teluk tersebut.

    Kemudian pandemik melanda dan bilangan pelawat berkurangan kepada hampir sifar apabila Thailand mengenakan sekatan perjalanan yang ketat, meletakkan seluruh kepulauan itu dalam fasa pemulihan secara paksa.

    Akibatnya, berpuluh-puluh ekor jerung hitam, penyu hijau dan penyu sisik telah kembali.

    Manakala jerung paus, ikan terbesar di dunia dan disenaraikan sebagai terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN), telah dikesan di luar pantai.

    “Semuanya menunjukkan bahawa terdapat lebih banyak pembiakan, terutamanya di kalangan jerung, yang amat menyukai perairan yang tenang,” kata Thon.

    Mengenai batu karang pula, “lebih 40 peratus daripada serpihan yang ditanam semula di Teluk Maya telah hidup, angka yang sangat memuaskan disebabkan ketiadaan pengunjung”.

    Tetapi pemulihan akan menjadi perlahan: sekurang-kurangnya dua dekad diperlukan untuk memulihkan terumbu karang, Thon mengingatkan.

    Model baharu

    Phi-Phi perlahan-lahan membukakan semula sektor pelancongan, kebanyakannya hanya untuk warga tempatan buat masa ini, tetapi warga asing kembali apabila Thailand melonggarkan peraturan ketatnya untuk pelawat dan Teluk Maya akan dibuka semula pada 1 Januari.

    Kerajaan telah berkata ia ingin beralih daripada sejarah pelancongan besar-besaran hedonistik di Thailand, dengan Menteri Pelancongan Phiphat Ratchakitprakarn berkata tumpuan akan diberikan kepada ‘pengembara kelas atasan, bukannya sejumlah besar pelawat’.

    Mengenai Phi Phi, ketua taman negara Pramote Kaewnam menegaskan kesilapan masa lalu tidak akan berulang.

    Bot tidak lagi dibenarkan berlabuh berhampiran pantai dan sebaliknya akan menurunkan pelancong di jeti yang jauh dari teluk. Lawatan akan dihadkan kepada satu jam, dengan maksimum 300 orang setiap lawatan.

    “Teluk Maya pernah membawa masuk sehingga AS$60 ribu sehari, tetapi pendapatan yang besar ini tidak dapat dibandingkan dengan sumber asli yang telah hilang,” kata Pramote.

    Jumlah pelawat akan dikawal di tapak penting lain di Nusantara, manakala bot yang berlabuh di terumbu karang dan pelancong yang memberi makan ikan berdepan denda AS$150.

    Beberapa pelawat asing pertama yang kembali ke kawasan itu gembira dengan pendekatan baharu yang lebih eksklusif.

    “Kami bukan sahaja datang untuk menyelam dalam air biru. Kami juga ingin membantu,” kata Franck, seorang pelawat yang baru tiba dari Paris. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun lulus ubat Alzheimer oleh Eisai & Biogen

    TOKYO, 26 SEPT - Kementerian kesihatan Jepun pada kelmarin meluluskan pengeluaran dan penjualan ubat untuk penyakit Alzheimer yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun Eisai...