Thailand sasar 700,000 pelancong

BANGKOK, 3 NOV – Thailand menyasarkan menarik kira-kira 700,000 pengunjung tahun ini melalui pelbagai skim dan inisiatif dalam usahanya untuk memulihkan sektor ekonomi dan pelancongan.

Menerusi langkah terbaharu bermula Isnin itu, Thailand mengalu-alukan pelawat yang lengkap vaksin COVID-19 dari 63 negara dan wilayah melalui skim kemasukan ‘Test & Go’, dengan pelawat tidak perlu menjalani kuarantin wajib.

Negara itu juga menyambut ketibaan pengembara lengkap vaksinasi dari negara lain di bawah skim ‘Living in the Blue Zone’ dan mereka boleh melawat 17 ‘destinasi sandbox’ termasuk Bangkok, Phuket, Krabi serta Phang-Nga tetapi mesti tinggal tujuh hari di destinasi itu sebelum melancong ke wilayah lain.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) berkata dari Januari hingga September tahun ini, Thailand menyambut ketibaan 85,845 pelawat asing melalui pelbagai skim kemasukan, termasuk ‘Phuket Sandbox’, Visa Pelancong Khas (STV), Kad Keahlian dan Pelancongan Perubatan.

‘Phuket Sandbox’ mencatat sejumlah 60,649 pelawat dari 1 Julai hingga 31 Oktober dengan lima pasaran teratas ialah AS, Israel, United Kingdom, Jerman dan Perancis. – Bernama