Thailand sedia terima pelancong asing

BANGKOK, 30 SEPT – Thailand bersedia untuk menerima kumpulan pelancong asing pertama sejak penerbangan penumpang komersial dihentikan pada April disebabkan pandemik koronavirus.

Gabenor Phuket Narong Woonsiew hari ini memeriksa lapangan terbang antarabangsa di selatan pulau resort popular itu, di mana sistem baharu termasuk pusat ujian koronavirus dan pengangkutan telah didirikan untuk mengalu-alu 150 pelancong China pertama dari wilayah Guangzhou pada 8 Oktober.

Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata sekurang-kurangnya tiga kumpulan pelancong asing akan tiba pada Oktober – dua dari China dan satu dari Scandinavia. Kesemua mereka tertakluk kepada kuarantin 14 hari dan sekatan lain ke atas pergerakan mereka.

Rancangan itu masih memerlukan kelulusan dari Kabinet. Timbulnya spekulasi pembukaan pada 8 Oktober mungkin ditangguhkan, tetapi Narong memberitahu wartawan Phuket sudah bersedia.

“Kami perlu memberi jaminan kebersihan untuk penduduk tempatan, tetapi pada masa yang sama kami perlu memulihkan ekonomi kami. Kami harus melakukannya tanpa mencetuskan gelombang wabak kedua,” kata beliau. – AP