Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Thailand siap sedia hadapi gelombang jangkitan baharu

    BANGKOK, 9 JAN – Berikutan kes COVID-19 terus meningkat, Thailand kini bersiap sedia menghadapi gelombang baharu jangkitan.

    Dalam tempoh 24 jam yang lalu, negara itu mencatatkan 8,511 kes baharu dan 12 kematian, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara 2,269,550 kes dan 21,825 kematian setakat ini.

    Kes COVID-19 dilihat meningkat dengan ketara selama enam hari berturut-turut.

    Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan semua gabenor wilayah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Wilayah untuk menguatkuasakan sekatan COVID-19 dan langkah-langkah pencegahan mengikut kesesuaian untuk membendung COVID-19.

    “Perdana Menteri juga mengarahkan semua kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan untuk menggerakkan petugasnya di tengah-tengah lonjakan kes,” kata jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana.

    Kakitangan Kesihatan Thailand menyuntik penduduknya menggunakan vaksin Pfizer ketika orang ramai menerima dos penggalak di dalam stadium di Bangkok pada 8 Januari. – AFP

    Bagi menguruskan peningkatan kes di Bangkok, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) melakukan persediaan untuk membuka 41 kemudahan kuarantin komuniti dengan jumlah katil yang boleh menempatkan kira-kira 5,100 pesakit.

    Selain itu, gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang mengarahkan semua 50 pejabat daerah untuk mengetatkan kawalan di tempat berisiko termasuk pusat hiburan.

    Beliau juga mengarahkan pejabat daerah membuat persiapan yang perlu termasuk pengangkutan untuk membawa pesakit COVID-19.

    “Pejabat daerah diarah menubuhkan Pusat Operasi Kecemasan di Bangkok untuk memantau situasi varian Omicron yang sangat mudah berjangkit,” katanya.

    Kementerian Kesihatan Awam turut menyeru orang ramai tampil mendapatkan vaksin penggalak.

    Pejabat kesihatan Nonthaburi menawarkan suntikan penggalak vaksin COVID-19 ketiga dan keempat secara percuma kepada sejumlah penduduk Thailand pada 13 dan 14 Januari.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Chaichan Changmongkol berkata pihak berkuasa keselamatan memperketat kawalan sempadan bertujuan mencegah penyeberangan sempadan secara haram, dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

    “Tentera akan menubuhkan pusat operasi kecemasan COVID-19 sekiranya berlaku wabak di wilayah,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...