BANGKOK, 21 NOV – Menteri Ekonomi dan Masyarakat Digital (DES), Prasert Chanthararuangthong mengumumkan langkah pemotongan cukai semasa seminar bertajuk ‘Thailand Smart City 2024’ di Hotel Grand Hyatt Erawan di Bangkok.
Prasert berkata kerajaan pimpinan Pheu Thai memberi tumpuan untuk membangunkan hab wilayah menjadi bandar pintar dalam tujuh bidang iaitu pengangkutan, tenaga, ekonomi, rakyat, kehidupan, perkhidmatan awam dan alam sekitar.
Setiap wilayah akan mengkhusus dalam satu atau lebih bidang untuk mencapai neutraliti karbon dan mendapat gelaran bandar pintar. Syarikat yang melabur di wilayah bandar pintar akan layak mendapat pelepasan cukai korporat sebanyak 50 peratus selama tiga tahun.
Sementara itu, cukai akan dikecualikan ke atas barangan atau perkhidmatan yang dibeli di bandar pintar melalui pertukaran digital, tambah Prasert.
Kementerian DES mahu bandar pintar menjadi enjin pertumbuhan ekonomi Thailand.
Prasert berkata pembangunan bandar pintar juga memerlukan input daripada masyarakat tempatan Thailand.
Kementerian DES akan mempromosikan Internet of Things (IoT) dan teknologi Data Besar untuk mengurus alam sekitar, mengurangkan pencemaran, dan bertindak balas terhadap bencana alam, tambahnya. – ANN/The Nation
