Thailand tawar visa rawatan setahun, rangsang pelancongan perubatan  

BANGKOK, 30 NOV – Thailand akan menawarkan Visa Rawatan Perubatan selama setahun bagi menarik pesakit warga asing selaras dengan peranan negara ini sebagai hab utama industri pelancongan perubatan selain untuk meningkatkan pasaran dalam sektor itu.  

Timbalan Jurucakap kerajaan, Dr Ratchada Thanadirek berkata Kabinet hari ini secara prinsipnya meluluskan Visa Rawatan Perubatan atau Visa Non-MT untuk pesakit dan pengiring mereka  (sehingga tiga orang bagi setiap pesakit) untuk mendapat rawatan perubatan di Thailand.

“Visa Rawatan Perubatan menyasarkan pelawat dan pesakit yang memerlukan rawatan berterusan. Ia selaras dengan rancangan kerajaan untuk mempromosikan Thailand sebagai hab utama pelancongan perubatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pesakit warga asing yang layak mendapatkan visa baharu itu boleh tinggal sehingga 90 hari untuk setiap ketibaan dan mendapatkan kebenaran penginapan jika perlu menjalani rawatan. – Bernama