Thailand tekad teruskan wawasan Putrajaya 2040

BANGKOK, 12 NOV – Thailand, selaku bakal pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun depan, komited untuk memastikan kesinambungan Wawasan Putrajaya 2040 menerusi tiga teras ekonomi.

Tiga teras itu adalah – perdagangan dan pelaburan, inovasi dan digitalisasi, serta pertumbuhan yang kukuh, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata Thailand akan meneruskan peranan APEC untuk memastikan pasaran terbuka melalui sistem dagangan pelbagai hala berasaskan aturan yang ditetapkan.

“Pada masa sama, kami akan memanfaatkan peluang untuk menilai semula perbincangan APEC mengenai dagangan dan pelaburan…yang mencerminkan keperluan dan kepentingan perniagaan serta komuniti kami yang semakin berkembang,” katanya pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2021 yang diadakan sacara maya hari ini. “Ini adalah penggerak utama kami sebagai tuan rumah APEC,” katanya.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern akan mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) secara maya malam ini dan kesemua 21 Pemimpin Ekonomi APEC dijangka menyertai mesyuarat yang bertemakan Join, Work, Grow, Together.

“Saya percaya tema dan keutamaan kami senada dengan seruan komuniti perniagaan untuk menggiatkan semula ekonomi kami dan menjadikannya lebih kuat serta berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, dalam memudahkan perdagangan dan pelaburan, Prayuth berkata rantau ini perlu disambung semula. – Bernama