Thailand terus dihambat peningkatan kes harian tertinggi

BANGKOK, 23 JULAI – Di tengah-tengah kebimbangan mengenai laporan mengenai pesakit COVID-19 meninggal dunia di jalan dan di rumah sementara menunggu bantuan tiba, Thailand hari ini mencatat lonjakan harian terbesar untuk hari ketiga berturut-turut dengan 14,575 kes baharu.

Jumlah jangkitan di negara ini kini mencecah 467,707, dan dalam tempoh 24 jam, 114 kematian dilaporkan dengan korban keseluruhan ialah 3,811.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata kes baharu melibatkan 14,562 jangkitan tempatan dan 13 kes import. Jangkitan tempatan termasuk 1,072 banduan.

“Sehingga kini, 143,744 pesakit masih dirawat di hospital, termasuk 3,984 dalam keadaan kritikal dan 900 menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya semasa taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menyuarakan kebimbangannya terhadap laporan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di jalan dan di rumah ketika menunggu rawatan.

Beliau telah mengarahkan semua agensi berkaitan mencari jalan untuk memastikan pesakit boleh dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Keadaan seperti itu tidak boleh berulang lagi. Ini adalah tanggungjawab semua agensi, bukan hanya Kementerian Kesihatan Awam semat-mata. Agensi lain yang terlibat mesti bersama membantu mencari jalan untuk membawa pesakit ke hospital,” katanya seperti dipetik Bangkok Post. – Bernama

Pekerja lengkap berpakaian PPE mengusung pesakit yang mempunyai simptom-simptom COVID-19 untuk dibawa ke hospital dari sebuah kampung di Pattani pada 19 Julai lalu. – AFP