Thailand tiada rancangan laksana perintah berkurung

BANGKOK, 8 NOV – Thailand tidak merancang untuk mengenakan perintah berkurung di wilayah selatan negara ini selepas kejadian serangan sekumpulan bersenjata pada Selasa yang menyebabkan 15 orang terbunuh.

Lt. Col. Pramote Prom-in dari Arahan Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) Wilayah 4 berkata, penguatkuasaan keselamatan dan undang-undang di Yala masih mencukupi.

Yala adalah satu daripada tiga bahagian di wilayah ini yang sering mengalami serangan keganasan.

“Pada masa kini, kami menerima kerjasama yang baik daripada penduduk setempat di peringkat  bawah, saya ingin mengesahkan bahawa ISOC Wilayah 4 tidak mempunyai alasan untuk mengenakan  perintah berkurung di kawasan berkenaan bagi mengehadkan hak dan kebebasan orang ramai,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Pada malam Selasa, sekumpulan bersenjata merempuh satu tempat pemeriksaan keselamatan di wilayah Yala, membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung dan anggota polis dan mencederakan empat yang lain. Sesetengah mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Sukarelawan ini kebiasaannya terdiri daripada orang biasa yang dilatih mengguna senjata dan ditugaskan untuk melindungi kampung.

Para penyerang berkenaan menggunakan bahan letupan dan mereka menaburkan paku di atas jalan dalam usaha memperlahankan pergerakan orang ramai ketika mengejar mereka. Ia serangan tunggal paling buruk di selatan Thailand dalam beberapa tahun lepas. – Bernama