Thailand tingkat rondaan di perairan

PATTANI, 12 APRIL – Pihak berkuasa Thailand meningkatkan rondaan di perairan Thailand-Malaysia dalam usaha mencegah rakyatnya yang terkandas di Malaysia menyeludup masuk berikutan penutupan semua pintu di sempadan kedua-dua negara.

Berikutan pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia, ribuan rakyat Thailand yang bekerja di Malaysia berhasrat untuk pulang ke tanah air mereka namun sejak 23 Mac lalu, kesemua sembilan pintu sempadan Thailand-Malaysia telah tutup dan ini menyebabkan ramai terkandas di sempadan.

Difahamkan rakyat Thailand yang bekerja tanpa permit sah atau tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan cuba menyeludup masuk ke Thailand dengan menggunakan bot nelayan.

Timbalan Gabenor Pattani, Somnuk Promkeaw berkata, Polis Marin dan Jabatan Imigresen Pattani mempergiatkan rondaan di perairan kedua-dua negara bagi menyekat kemasukan rakyat Thailand secara haram.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, mereka sanggup membayar kira-kira 1,500 baht seorang untuk menumpang bot nelayan pulang ke Thailand,” katanya.

Polis Marin dan Jabatan Imigresen Pattani melancarkan rondaan di perairan Thailand-Malaysia untuk membendung penyeludupan masuk warga Thailand yang terkandas di Malaysia. Bermula 23 Mac, Thailand menutup semua sembilan pintu sempadannya dengan Malaysia sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan. – Bernama

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Thailand berkata semua warganya yang terkandas di sempadan dibenarkan pulang namun perlu memenuhi syarat yang ditetapkan bermula 18 April.

Surat kepada Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Chatchai Promlert menyebut bahawa warga Thailand dibenarkan memasuki semula negara itu melalui 23 pos kawalan sempadan dengan 100 orang di setiap pintu masuk setiap hari.

Di selatan Thailand, surat itu menyebut bahawa 100 warga Thailand dibenarkan masuk semula ke negara tersebut melalui pintu sempadan Sadao di Songkhla dan Sungai Kolok di Narathiwat setiap hari manakala 50 orang di setiap pintu sempadan Betong di Yala serta Wang Prachandi di Satun.

“Mereka yang mahu pulang ke Thailand perlu berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri di setiap wilayah sekurang-kurangnya dua hari sebelum bertolak.

“Selain itu, mereka perlu mendapatkan sijil kesihatan layak melakukan perjalanan dan sijil perjalanan dari kedutaan atau pejabat konsulat yang menyatakan tempat tinggal di Thailand serta bersetuju untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Mereka yang pulang ke Thailand perlu berada di pintu sempadan pada 12 tengah hari,” katanya. – Bernama