The Blues ke final Piala FA

LONDON, 18 APRIL – Chelsea meranapkan impian Manchester City untuk melakarkan sejarah merangkul empat trofi kejuaraan apabila jaringan Hakim Ziyech membawa The Blues mara ke final Piala FA semalam.

Hari yang malang buat City apabila mereka turut kehilangan pemain terbaik mereka, Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan buku lali menjelang final Piala Liga yang mana mereka akan menentang Tottenham dan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara bertemu Paris Saint-Germain (PSG).

Chelsea sekali lagi beraksi cemerlang untuk melakar kemenangan di bawah kendalian Thomas Tuchel dan menjadi pasukan pilihan untuk menjulang trofi pertama dalam bola sepak Inggeris apabila bertemu Leicester atau Southampton pada 15 Mei ini.

“Ia satu persembahan yang sangat hebat. Saya sangat gembira dan bangga,” kata Tuchel yang hanya tewas dua kali dari 19 perlawanan sejak mengambil alih tugas Frank Lampard pada Januari.

“Kami mengambil peluang untuk tampil pada tahap tertinggi dan membuktikan siapakah kami. Anda hanya boleh menang ke atas City jika semua berada di tahap tertinggi.”

Aksi Jorginho ketika mengawal bola melepasi pemain Manchester City, Phil Foden pada perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley di London, semalam. – AP

Malah Tuchel turut berpeluang meraih hadiah terbesar di Liga Juara-Juara hanya selepas lima bulan mengendali Chelsea.

Chelsea dan City mampu bertembung sekali lagi pada final Liga Juara-Juara di Istanbul bulan depan sekiranya masing-masing lolos aksi separuh akhir bertemu Real Madrid dan PSG, akan berentap di perlawanan separuh akhir dan pasukan Tuchel membuktikan mereka dapat memperoleh yang lebih baik daripada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun terdapat jurang 20 mata antara kedua-dua pasukan di kedudukan EPL.

City memburu untuk menyapu kesemua trofi ketika Pep Guardiola melakukan lapan perubahan dari pasukan yang menewaskan Borussia Dortmund pada pertengahan minggu lalu dengan penjaring gol Phil Foden dan Riyad Mahrez di antara mereka yang diturunkan.

Citizens kelihatan kecewa dan Chelsea mengambil kesempatan dalam permulaan yang baik di awal perlawanan.

Jaringan Ziyech adalah setelah mendapat hantaran lintang daripada Timo Werner pada minit keenam, tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid.

Hanya 11 hari sebelum perlawanan pusingan pertama PSG, De Bruyne mengalami kecedaraan kakinya apabila dicabar oleh N’Golo Kante dan digantikan oleh Foden. – AFP