The Box dirasmikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Dengan matlamat untuk memberikan ruang bagi pengusaha tempatan termasuk golongan belia untuk mengetengahkan bakat mereka serta menjadi tarikan ruang jualan bagi para pelancong, The Box dirasmikan dalam majlis perasmian yang berlangsung di Jalan Telanai, kelmarin.

Hadir selaku tetamu khas untuk menyempurnakan perasmian The Box ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Behormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dibawa untuk menyaksikan ruang dan kemudahan yang terdapat di The Box serta beramah mesra dengan penjual-penjual yang turut memberikan penerangan mengenai produk serta jenama yang diketengahkan oleh mereka.

The Box merupakan ruang jualan dan riadah seluas lebih 19,000 kaki persegi dan mempunyai sebanyak 63 unit dengan 190 petak letak kereta bagi klien dan perusahaan yang menjadikannya establisment berasaskan kontena yang terbesar di Brunei.

Bangunan itu juga mengetengahkan konsep mesra alam dengan menggunakan tenaga suria dan air dari hujan.

Ia bukan sahaja mengetengahkan konsep sebuah ruang jualan sahaja tetapi juga mempunyai identitinya tersendiri dengan menonjolkan ciri-ciri ceria dan seronok.

Ia juga mempunyai sebuah ruang amfiteater mini yang boleh disaksikan daripada empat penjuru bangunan itu bagi mengetengahkan persembahan kreatif.

The Box dihasratkan untuk memberikan ruang yang terbaik bagi perusahaan baharu dan veteran untuk berkembang dengan penglibatan The Box memasarkan para penyewa di bangunan itu untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai jenama mereka.

Penghantaran bekalan bahan api kepada Syarikat Penerbangan Air India telah disambung semula selepas digantung pada 22 Ogos di tengah laporan bahawa syarikat penerbangan kebangsaan itu menanggung hutang lebih AS$630 juta daripada tiga syarikat pembekal bahan api. – AFP