Wednesday, February 1, 2023
32.3 C
Brunei

-

‘The Bungsu Story’ dilancarkan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Dalam memperkembangkan industri kreatif di negara ini, sekumpulan belia dari The Creative Core BN (TCCBN) bersama Filterworks Productions melancarkan drama bertajuk ‘The Bungsu Story’ yang berlangsung di Arena Cineplex, Kiulap, petang ini.

Tayangan eksklusif drama pilot episod pertama ini dihadiri oleh para penaja, warga kerja TCCBN, Filterworks Productions dan media tempatan serta para sukarelawan yang terlibat.

‘The Bungsu Story’ ini mengisahkan tentang ketekunan seorang gadis yang ingin mencapai kecemerlangan dalam pengajiannya di universiti sehinggalah menjumpai rakan sekuliahnya yang menggugat pencapaiannya dalam kelas.

Drama ini diarahkan oleh Aznniel Yunus, yang juga juru video dari The Nostrils Productions manakala Penerbit Eksekutifnya pula terdiri dari Aaqiil Ahmad (Filterworks Productions) dan Amali Haji Roslin (TCCBN).

Para pelakon yang membintangi drama ini ialah Safarah Nordin dan Adi Nabil, kedua-duanya adalah pendatang baru dalam dunia lakonan.

Semasa sesi soal jawab sejurus selepas tayangan eksklusif ditayangkan.
Semasa sesi soal jawab sejurus selepas tayangan eksklusif ditayangkan.
Antara jemputan yang hadir menyaksikan tayangan eksklusif ‘The Bungsu Story’.
Antara jemputan yang hadir menyaksikan tayangan eksklusif ‘The Bungsu Story’.

Ketika sesi soal jawab, Aaqiil Ahmad menyatakan bajet pembikinan drama yang disempurnakan kira-kira 5 bulan ini ialah $600 sahaja.

“Duit ini datangnya daripada hasil kutipan TCCBN dan duit persendirian para penerbit yang terlibat dan jumlah ini hanya digunakan untuk makan minum warga kerja produksi,” jelasnya.

Ketika ditanya ke manakah hala tuju drama ini seterusnya, beliau menjelaskan tayangan drama ini antara lain bertujuan untuk memperlihatkan hasil terbitan mereka dan dalam masa yang sama untuk menarik perhatian para pelabur yang ingin meneruskan hasil kerja kreatif ini.

Katanya lagi, “Jika episod pertama ini berjaya menawan hati pelbagai pihak maka episod kedua akan diteruskan jika terdapat mana-mana pihak yang ingin melabur dalam kerja produksi ini,” jelasnya lagi.

Beliau juga menjelaskan untuk menghasilkan sebuah episod, perbelanjaan secara kasar yang diperlukan adalah antara $15 hingga $20 ribu.

Selain itu, beliau juga menerangkan bahawa episod pertama ini hanya akan ditayangkan di Arena Cineplex, Kiulap dan jika ia berjaya, masa keseluruhan musim bagi drama ini mungkin akan ditayangkan di laman-laman sosial seperti YouTube atau menjualnya kepada mana-mana platform yang tertentu.

“Mungkin ini permulaan perjalanan drama bersiri yang boleh ditayangkan di pawagam dan bakal menjadi trend seterusnya kepada belia lain dalam menghasilkan dan memperkembangkan industri kreatif di negara ini,” jelasnya.

Drama 30 minit ini menggunakan 95 peratus Bahasa Inggeris kerana menurut penerbitnya, Bahasa Inggeris kini menjadi bahasa penghantar warga muda di negara ini tetapi diselitkan juga sedikit Bahasa Melayu Brunei.

Antara lokasi yang digunakan adalah seperti Universiti Brunei Darussalam, Fitness Zone, rumah persendirian dan beberapa lokasi lain dengan kerjasama Heartwrite Co, Moment and Time, Lokal Fotografi, Beluneu Films, Ayman Isa, Mamad AK dan Juam Madial.

TCCBN dan Filterworks Productions ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd, Progresif, Brunei Halal, Wing-it, Zanana Chips, Rep Athlete dan Lagenda Clothing atas sokongan berterusan terhadap projek ini.

Juga tidak ketinggalan kepada Arena Cineplex atas kepercayaan yang diberikan untuk menayangkan projek hasil belia tempatan ini di pawagam dan diikuti dengan Rack & Brew dan semua yang terlibat.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korban bom masjid meningkat lebih 90

PESHAWAR, PAKISTAN, 31 JAN – Pengeboman berani mati yang berlaku di masjid dalam ibu pejabat polis daerah Peshawar dan kawasan kerajaan di barat laut...
- Advertisment -