The call of the wild pengembaraan penuh rintangan

Oleh Adiiwira

Pada Khamis lalu, sebuah filem baharu yang dikatakan mampu menyaingi filem Sonic the Hedgehog telah dilancarkan bagi memasuki carta pecah panggung.

Filem terbitan Disney-20th Century, The Call of the Wild ini diadaptasi dari novel milik John London pada tahun 1903 yang berlatarkan masa perburuan emas Klondike Alaska pada tahun 1890an.

Filem lakonan Harrison Ford ini merupakan sebuah filem PG-rated pengembaraan seekor anjing jenis gabungan Saint Bernard dan Scotch Collie bernama Buck. The Call of the Wild ini mengisahkan tentang Buck seekor anjing peliharaan yang telah diculik oleh pemburu anjing dari rumah tuannya di California. Penculikan Buck ini mengubah kehidupannya 180 darjah. Di mana, Buck dihantar ke hutan belantara Yukon Alaska untuk dijadikan anjing penarik kereta salji pengiriman surat.

John Thorntorn (Harrison) sedang menuju ke Yukon untuk mengasingkan diri telah berjumpa dengan Buck buat pertama kalinya. Mereka berdua ibarat memiliki keserasian dan mereka memulakan perjalanan pengembaraan bersama-sama menuju ke satu destinasi yang belum pernah dikunjungi oleh manusia dengan berpandukan peta. Sepanjang perjalanan mereka, pelbagai rintangan yang harus mereka harungi. Buck banyak membantu John dan orang-orang yang berada dalam masalah ketika perjalanan menuju ke destinasi yang dituju. Pengembaraan mereka ini merupakan satu usaha mencari kebebasan dan jati diri.

Skrip filem ini ditulis oleh Michael Green yang juga pernah menulis skrip bagi filem Logan dan Blade Runner 2049 dan merupakan arahan Chris Sanders yang juga pengarah beberapa filem seperti How to Train Your Dragon Homecoming (2019) dan The Croods (2013). Filem ini membawa nilai AS$125 juta dan kini mendapat kutipan kira-kira AS$28 juta di 3,752 lokasi di Amerika Utara bagi anggaran kiraan pada Sabtu lepas. Disney mewarisi filem ini sebagai sebahagian daripada pembelian aset hiburan Fox pada tahun lepas. Filem ini telah mendapat markah 64 peratus “segar” dari Rotten Tomatoes dan mendapat penilaian dari penonton pada pelancarannya sebagai filem A- Cinemascore.

Sonic the Hedgehog tetap unggul menjuarai carta pecah panggung minggu ini. – Agensi
Filem baharu yang mengisahkan seekor anjing yang bernama Buck menduduki tempat kedua carta. – Agensi
Bird of Prey turun satu anak tangga pada minggu ini dengan kutipan AS$7 juta. – Agensi
Bertahan selama enam minggu, Bad Boys for Life berada di kedudukan kelima. – Agensi
Filem seram ghaib PG-13, Brahams: The Boy II merupakan filem sequel daripada filem terdahulu The Boy yang mengisahkan tentang sebuah keluarga yang berpindah ke sebuah rumah yang menakutkan dengan kehadiran sebuah boneka misteri. – Agensi

“Pada masa lalu, secara amnya filem yang berasaskan anjing bagi filem pecah panggung sukar mendapat tempat, walaupun kita menyukai dan memuja anjing yang kita kasihi, ia agak sukar untuk filem tersebut meraih penghasilan yang besar untuk pemiliknya, kata Paul Dergarabedian, pengana-lisis media kanan di Comscore.

“Mudah-mudahan Call of the Wild dapat sebanding dengan filem-filem utama dan setentunya, dapat menempah nama.”

Selain Harisson Ford membintangi filem ini, barisan pelakon lain yang turut membintangi filem ini ialah Dan Stevens, Omar Sy, Karen Gillan, Bradley Whitford, Colin Woodell dan ramai lagi.

Ketika pelancaran filem Call of the Wild ini juga, sebuah filem baharu terbitan STX dan Lakeshore yang bergenre seram ghaib PG-13, Brahams: The Boy II turut ditayangkan. Filem ini merupakan filem sekuel daripada filem terdahulu The Boy. Filem lakonan Katie Holmes ini mengisahkan tentang sebuah keluarga yang berpindah ke Heelshire Mansion yang merupakan sebuah rumah yang menakutkan dengan kehadiran boneka misteri. Penghasilan filem ini menelan kos AS$10 juta dan telah mendapat kutipan penjualan tiket sebanyak AS$6 juta di 2,151 buah pawagam serta menarik kutipan AS$2.2 juta untuk permulaan global sebanyak AS$8.22 juta. Ketika pelancaran filem ini, penonton memberikan penilaian C- bagi Cinemascore dan mendapat markah terburuk bagi Rotten Tomatoes iaitu hanya 9 peratus.

Kedudukan filem terkini

Kedudukan pertama carta pecah panggung pada minggu ini mengalami percaturan antara filem Sonic the Hedgehog yang sudah memasuki minggu kedua pada minggu ini dengan filem baharu Call of the Wild. Kedua-dua filem ini saling bersaing untuk menjuarai carta pecah panggung. Namun, Call of the Wild terpaksa akur menduduki kedudukan kedua carta dengan kutipan AS$25 juta kerana dengan mudahnya Sonic the Hedgehog terus melaju menjuarai carta pecah panggung pada minggu ini dengan kutipan AS$26 juta. Sonic the Hedgehog menjadi filem pecah panggung tak terduga mendapat kutipan AS$70 juta selepas pelancarannya ketika cuti hujung minggu Hari Presiden. Dalam minggu kedua pelancarannya, filem ini melepasi kutipan AS$100 juta di Amerika Utara dan AS$200 juta di seluruh dunia.

Filem anti-superhero terbitan Warner Bros, Bird of Prey, pada minggu ini menduduki carta ketiga setelah tiga minggu dalam carta pecah panggung dengan kutipan AS$7 juta. Kedudukan keempat carta pula adalah filem seram ghaib baharu, Brahams: The Boys II dengan meraih kutipan penjualan tiket sebanyak AS$6 juta. Diikuti dengan Bad Boys for Life bertahan pada kedudukan kelima dengan kutipan AS$6 juta.

Secara kesimpulannya, carta pecah panggung pada minggu ini memiliki perubahan yang ketara terutama dua filem baharu minggu lepas Fantasy Island yang menduduki kedudukan ketiga turun empat anak tangga carta dan The Photograph yang berada di kedudukan keempat yang turun secara drastik enam anak tangga.

Menurut Comscore, secara keseluruhan penjualan tiket pecah panggung naik 5.9 peratus berbanding tahun lalu. Dalam beberapa minggu lagi, filem seram terbitan Universal The Invisible Man dan filem bergenre keluarga terbitan Disney-Pixar Onward dijangka menjana perniagaan yang ketara.