The Citizens menang selesa, rekod masih cemerlang

BUDAPEST, 25 FEB – Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City semakin dekat untuk mara ke pusingan suku akhir saingan Liga Juara-Juara selepas mencatatkan kemenangan ke atas Borussia Moenchengladbach dengan kemenangan selesa 2-0 di Budapest, kelmarin.

Tandukan pada separuh masa pertama dari Bernardo Silva dan rembatan Gabriel Jesus meneruskan rekod kemenangan pasukan Pep Guardiola kepada 19 perlawanan dalam semua kejohanan.

Dengan membuat enam pertukaran selepas kemenangan pada Ahad menentang Arsenal, City mengasak benteng Gladbach hampir keseluruhan perlawanan, dalam pertemuan yang dipindahkan ke Hungary kerana Jerman melaksanakan sekatan perjalanan COVID-19.

Walaupun City jelas menjadi pasukan pilihan, namun kubu pertahanan Gladbach sukar digugat, sering dipintas oleh pemain bek kiri Algeria, Ramu Bensebaini.

Penampilan sulung di Liga Juara-Juara peringkat kalah mati, Gladbach yang nampak gentar telah diseru oleh pengurus Marco Rose untuk tampil berani menentang pasukan Guardiola.

Walaupun pemain Perancis, Alassane Plea nyaris menjaringkan gol pada minit ke-20 selepas melakukan serangan balas, Gladbach yang bermain lebih ke bawah bagi menangani tekanan pada minit ke-29.

Hantaran lintang dari pemain pertahanan Portugal, Joao Cancelo melepas pemain pertahanan di bahagian kiri untuk mencari rakan senegara, Silva, yang kemudian membuat tandukan jarak dekat melepasi Yann Sommer.

Pemain berusia 26 tahun, Cancelo, beraksi cemerlang sepanjang perlawanan, hampir menggandakan kedudukan lima minit sebelum masa rehat tetapi percubaannya tersasar keluar.

Awal separuh masa kedua, Jesus sepatutnya mengambil kesempatan setelah hantaran kebelakangan dilakukan Bensebaini tetapi percubaannya berjaya dihalang oleh pemain pertahanan Nico Elvedi. Sekali lagi Cancelo membuat hantaran lintang kepada Silva, yang kali ini membuat tandukan ke belakang kepada Jesus untuk membuat percubaan dan melengkapkan kemenangan ke-19 buat City. – AFP

Reaksi Gabriel Jesus meraikan gol bersama Bernardo Silva untuk memberikan kemenangan selesa buat City di saingan Liga Juara-Juara, kelmarin. – AP