The Foxes optimis kejar The Reds

MANCHESTER, 20 DIS – Leicester mungkin tidak dapat mengulangi kejayaan epik menjuarai Liga Perdana Inggeris seperti empat tahun lalu, tetapi The Foxes sekurang-kurangnya membuat kejutan sebagai pencabar terdekat Liverpool musim ini.

Anak buah Brendan Rodgers akan bertandang ke Manchester City dengan kelebihan empat mata ke atas juara bertahan itu, dan perlu mengutip mata penuh bagi memastikan perebutan kejuaraan kekal relevan.

Ketiadaan Liverpool dalam saingan liga minggu ini kerana beraksi di Piala Dunia Kelab, memberikan peluang buat Leicester untuk merapatkan jurang kepada tujuh mata.

Menang dua perlawanan terdekat ini akan mengurangkan jurang kepada empat mata kerana juara Eropah itu akan menjadi tetamu di Stadium King Power sekembalinya dari Qatar pada 26 Disember.

Namun kemenangan ke atas City yang menang lima daripada enam trofi domestik terakhir di England dan Liverpool yang baru tewas sekali dalam 56 perlawanan liga adalah tugas yang berat.

“Semua orang mahukan trofi. Kami perlu berjuang, kemenangan tidak hadir begitu saja,” kata Rodgers.

“Kami perlu terus berjuang dan bekerja keras di setiap perlawanan, jika berjaya melakukannya ia pasti hebat, tetapi selagi kami maju dan terus berkembang, itu juga hebat.”

Leicester hampir membantutkan kemaraan City pada kunjungan terakhir mereka ke Etihad apabila skuad kendalian Pep Guardiola diselamatkan oleh rembatan Vincet Kompany untuk kemenangan 1-0 pada perlawanan kedua terakhir musim lalu.

Leicester mempunyai 13 mata di hadapan dari kedudukan Tottenham ke-5, di mana mereka dilihat berpotensi untuk menjadi kelab pertama selain Liverpool, City, Tottenham, Chelsea, Manchester United dan Arsenal yang akan menamatkan perlawanan di empat teratas sejak mereka menjadi juara pada tahun 2015-2016. – AFP

Aksi pemain Leicester City ketika merebut bola pada perlawanan menentang Everton di Goodison Park, Liverpool. – AP