The Funtastic Fair lupakan masalah tekanan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menangani masalah tekanan kehidupan terutama kalangan pelajar universiti, Badan Pergerakan Mahasiswa dan Mahasiswi Fakulti Sastera dan Sains Sosial (BPM FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengadakan The Funtastic Fair di Bangunan Tambahan, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul
Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD.

Acara selama tiga hari itu telah dirasmikan hari ini oleh Dekan FASS, Dr Haji Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman selaku tetamu kehormat majlis.

Pengerusi majlis, Dayang Ili Arina binti Zainal dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa perasaan tertekan merupakan masalah yang sering berlaku disebabkan banyak faktor antaranya bebanan kerja, masalah kewangan, konflik keluarga dan sebagainya.

Oleh itu, katanya, menerusi acara tersebut, orang ramai dapat diperingatkan untuk tidak lupa meluangkan masa untuk berhibur dan bersuka ria tanpa perlu mengingatkan segala kegusaran dan kerisauan terhadap permasalahan yang dihadapi.

BPM FASS berharap, acara ini akan membantu masyarakat menyedari akan pentingnya cara mengendalikan tekanan, terutama sekali bagi para pelajar universiti kerana ia boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Sepanjang acara berlangsung pelbagai aktiviti, permainan disusun dan diaturkan seperti A Singer is Born, I Lost My Pen — Please Listen, Paperwork Tennis, Bang! Bang! And Play Button khas bagi kunjungan orang ramai bersama seisi keluarga dan rakan-rakan dengan acara UBD’s Got Talent akan mengakhiri hari terakhir pesta tersebut.

Sementara itu, beberapa vendor turut berada di sana bagi memeriahkan acara berkenaan seperti Melted Yellow & Soldier Dreak by Muram, Kyna Popsicle, The Banana Story, Cafe Kopi & Roti, Pastries Fairy & Capolavaro, Stop Lok Go, Slush Zone, Bunga Kilanas dan Moistjito.

Tetamu kehormat ketika mencuba beberapa aktiviti yang disediakan pada acara berkenaan.