MIAMI, 25 JULAI – Gabriel Jesus meneruskan prestasi pramusimnya yang mengagumkan dengan meledak satu lagi gol ketika Arsenal membelasah Chelsea 4-0 dalam aksi persahabatan di Florida pada Sabtu lalu.
Jesus, yang hanya menyertai Arsenal dari Manchester City pada awal bulan ini, menggenapkan jumlah golnya kepada empat gol dalam tiga perlawanan untuk kelab baharunya itu dalam kemenangan klinikal The Gunners di hadapan 63,811 penyokong di Stadium Camping World, Orlando.
Ia merupakan satu lagi prestasi memberangsangkan bagi pasukan Mikel Arteta, yang menguasai perlawanan dengan dua gol pada separuh masa pertama selepas mendominasi 45 minit perlawanan pembukaan.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Thomas Tuchel tidak dapat menyembunyikan kemarahannya ketika persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya pada separuh masa pertama hambar dan banyak melakukan kesilapan.
Asakan bertubi-tubi yang diberikan oleh Arsenal pada minit ke-15 membuahkan hasil selepas pemain Chelsea, Nathaniel Chalobah membuat kesilapan dengan hantaran yang salah, tepat ke Granit Xhaka.

Pemain antarabangsa Switzerland itu kemudiannya melorongkan bola ke Jesus yang dengan tenang melakukan chip mengatasi Mendy untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Martin Odegaard tidak lama kemudian menyumbat gol kedua Arsenal pada minit ke-36 dengan satu lagi gerakan yang menarik.
Peluang terbaik Chelsea untuk separuh masa yang hambar hadir pada masa kecederaan apabila Mason Mount melepaskan rembatan dari tepi luar kotak penalti yang menewaskan Aaron Ramsdale namun tersasar terkena tiang gol.
Arsenal menambah jaringan pada pertengahan separuh masa kedua apabila Saka membenamkan bola dari jarak dekat selepas Mendy menepis rembatan jarak jauh Xhaka.
The Gunners terus melakukan serangan bagi mencipta peluang tetapi terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan bagi mendapatkan gol keempat mereka apabila Albert Sambi Lokonga menanduk masuk bola melepasi Mendy menerusi hantaran lintang hebat dari kanan oleh pemain antarabangsa Portugal, Cedric. – AFP