The Gunners gah di Emirates

LONDON, 11 Mac – Arsenal menyebabkan Ole Gunnar Solskjaer menanggung kekalahan domestik pertama apabila Manchester United tewas 2-0 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana kelmarin.

Jaringan awal Granit Xhaka dan penalti Pierre Emerick-Aubameyang 21 minit sebelum tamat perlawanan menyaksikan Gunners mengatasi United dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana.

Skuad kendalian Unai Emery juga hanya satu mata di belakang pasukan tangga ketiga, Tottenham dan kini memiliki kelebihan bagi pemburuan ke Liga Juara-Juara.

Arsenal tidak akan berdepan mana-mana pasukan dalam kelompok enam teratas untuk baki lapan perlawanan liga manakala United menanti kehadiran Manchester City dan Chelsea dalam minggu-minggu selepas ini selain berdepan saingan Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Kunjungan ke Perancis untuk kedua-dua pasukan pada pertengahan minggu menghasilkan keputusan berbeza ketika United mengejutkan pasukan gergasi Paris Saint-Germain 3-1 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Aubameyang cuba melakukan sepakan akrobatik dalam aksi Liga Perdana menentang Manchester United di Stadium Emirates. – AP

Gunners sebaliknya tewas 3-1 kepada Rennes menyebabkan mereka perlu berdepan cabaran besar pada saingan pusingan kedua pada Khamis ini untuk mara ke kelompok lapan terakhhir Liga Europa.

Dalam perlawanan tersebut, Unai Emery telah membuat lima pertukaran dan hampir membuahkan hasil apabila hantaran lintang Sead Kolasinac menemukan Alexandre Lacazette.

Bagaimanapun, Arsenal hampir ketinggalan apabila serangan pertama United menerusi hantaran lintang Luke Shaw menemukan Romelu Lukaku namun rembatan penyerang Belgium itu sekadar menggegarkan gawang.

“Anda perlu kecewa dengan keputusan ini, tapi prestasi pemain adalah bagus,” kata Solskjaer.

“Gol pertama selalu menunjukkan bagaimana perlawanan akan berjalan. Kami mencipta peluang, peluang besar, terkena palang dua kali, (Bernd) Leno bermain baik.

“Dalam aspek apa yang boleh kita kawal, kami tidak seharusnya rasa terlalu kecewa.”

“Kami akan bermain perlawanan sukar dan beraksi konsisten adalah sangat penting,” kata Emery. “Pada ketika ini saya rasa kami bermain konsisten, tapi kami perlu tenang dan bersabar.” – AFP