The Joker jumpa Zverev di separuh akhir

NEW YORK, 9 SEPT – Novak Djokovic hanya perlu memenangi dua perlawanan sahaja lagi untuk melakar sejarah Grand Slam pertama perseorangan lelaki dalam 52 tahun selepas beliau berjaya mengalahkan Matteo Berrettini dari Itali semalam dalam perlawanan suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain nombor satu dunia, Djokovic meraih kemenangan berturut-turut di Grand Slam dalam 26 perlawanan dengan menyingkirkan pemain pilihan keenam, Berrettini 5-7, 6-2, 6-2, 6-3 di Stadium Arthur Ashe yang juga pernah tewas menentang Djokovic di final Wimbledon Julai lalu.

“Saya rasa ia adalah aksi terbaik keseluruhannya.” kata Djokovic yang menganggap tiga set terakhir adalah permainan terbaik yang beliau telah pamerkan.

Djokovic menempa slot separuh akhir akan berdepan juara Olimpik yang menumpaskannya di separuh akhir di Tokyo, Alexander Zverev.

“Dia berada pada prestasi terbaik. Sudah banyak kemenangan dicatatkannya. Dia adalah salah seorang daripada pemain terbaik di dunia sekarang dan saya begitu teruja.

“Bagaimanapun, lebih besar cabaran, lebih besar kejayaan akan dicatatkan nanti,” kata Djokovic.

Djokovic sedang memburu rekod untuk menjadi pemain pertama meraih kesemua kejuaraan utama dalam semusim sejak Rod Laver melakukannya pada 1969 namun dia belum bersedia memikirkan kejayaan berkenaan.

“Saya hanya fokus pada aksi seterusnya. Jangan tanya mengenai cipta sejarah. Saya hanya fikirkan perlawanan selepas ini. Peringkat demi peringkat,” kata Djokovic.

Pemain kelahiran Serbia berusia 34 tahun itu juga memburu kejuaraan Terbuka AS buat kali keempat dan meraih gelaran Grand Slam kali ke-21 sekali gus mengatasi Roger Federer dan Rafael Nadal yang tidak beraksi akibat kecederaan Zverev dari Jerman yang juga pilihan keempat serta naib juara Terbuka AS tahun lalu mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali keempat selepas mengetepikan pemain ranking ke-46 dunia dari Afrika Selatan Lloyd Harris 7-6 (8/6), 6-3, 6-4.

“Dia pemain terbaik di dunia. Dia sangat sukar dikalahkan,” kata Zverev. “Saya adalah pemain pertama yang mengalahkannya dalam pertandingan yang sangat besar tahun ini. Itu sangat bermakna.” – AFP

Aksi Novak Djokovic semasa menentang Matteo Berrettini dalam perlawanan suku akhir Tenis Terbuka AS 2021 di Pusat Tenis Nasional USTA Billie Jean King di New York, semalam. – AFP