Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Lima perusahaan kanak-kanak (kidpreneurs) menerima anugerah setelah mencatatkan jualan terbanyak di kemuncak The Kasturi Stand iaitu program mentor keusahawanan bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun yang dianjurkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sebagai sebahagian daripada inisiatif 90 days of Community.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, sepanjang Disember, kidpreneurs telah menyertai bengkel-bengkel dalam talian dengan mentor industri tempatan yang membimbing para peserta dalam pelbagai topik seperti penjanaan idea, pembangunan produk, kemapanan dan pemasaran.
Di hujung program berkenaan, setiap peserta diberikan peluang untuk membangunkan perniagaan dalam talian mereka sendiri di Community for Brunei Virtual Marketplace.
Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik menyatakan perasaan amat bangga dengan usahawan-usahawan muda berkenaan atas komitmen, dedikasi dan keyakinan mereka.
Beliau berkata bahawa The Kasturi Stand dihasratkan untuk menanamkan semangat inovasi dan keusahawanan pada usia muda dalam kaedah yang menyeronokkan serta bermakna dan memberikan usahawan muda berkenaan sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka merealisasikan impian memiliki perusahaan mikro.
“Kami berharap supaya The Kasturi Stand akan menjadi titik permulaan bagi kidpreneurs kami dan mereka akan meneruskan perjalanan perniagaan mereka,” ujarnya.
Kenyataan menyatakan bahawa Amalia’s Desserts yang dikendalikan oleh Dayang Amalia Maisarah binti Haji Shayfol Khairin, Epic Surprise Box yang dikendalikan oleh Ethan Han, Kayli’s Kratfs yang dikendalikan oleh Lai Kayli, Aleenas Cookies yang dikendalikan oleh Dayangku Amanda Aleena binti Pengiran Saiful Ismail dan Rad Cactus Co yang dikendalikan oleh Rania Aleesya Sateria, Rayyan Ar-Rasyid dan Awang Mohd Amir Fuad bin Jofri, telah dianugerahkan dana permulaan sebanyak $200 kerana mencatatkan jualan terbanyak menerusi perniagaan dalam talian mereka.
The Kasturi Stand dianjurkan sebagai sebahagian daripada 90 Days of Community, sebuah inisiatif untuk mengetengahkan perniagaan-perniagaan kreatif tempatan dan menyediakan peluang bagi perusahaan kreatif baharu untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem PMKS tempatan.