Tuesday, November 5, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    The Pocket Rocketman perlu sokongan semua

    HANGZHOU, 21 SEPT – Semua pihak perlu terus memberikan sokongan kepada jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang susulan keputusan mengejut bekas juara dunia keirin itu menarik diri daripada temasya Sukan Asia 2022.

    Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke temasya berkenaan, Datuk Chong Kim Fatt yang ditemui berkata Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman wajar diberikan peluang untuk bangkit semula kerana beliau adalah wira yang telah banyak mengharumkan nama negara.

    Kim Fatt yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata keputusan yang dibuat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bukan sesuatu yang diinginkan selepas secara peribadi memberitahu mahu menghadiahkan dua butir emas pada edisi kali ini.

    “Untuk saya, beliau (Mohd Azizulhasni) adalah seorang atlet yang bagus dan taat kepada Malaysia. Kita doakan beliau sembuh secepat mungkin dan masih boleh berkayuh sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

    “Apa yang berlaku menjelang Sukan Asia tak penting, yang penting adalah keselamatan dan kesihatan beliau,” katanya yang turut optimis Mohd Azizulhasni berupaya kembali ke tahap optimum menjelang Olimpik Paris.

    Semalam, Mohd Azizulhasni mengumumkan terpaksa menarik daripada beraksi di sini selepas mengalami kecederaan pada kaki dan pinggul kiri ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Jumaat lepas.

    Katanya, keputusan itu diambil setelah berbincang dengan jurulatihnya John Beasley dan pasukan, sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan kecederaan tersebut bertambah parah.

    Sementara itu, Kim Fatt yakin kontinjen negara tetap mampu mencapai sasaran 27 pingat biarpun tanpa kelibat Mohd Azizulhasni. – Bernama

    Datuk Mohd Azizulhasni Awang ketika sidang media mengenai status kecederaan yang dialaminya di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 20 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda