The Red devils menang mudah di Granada

MADRID, 9 APRIL – Jaringan menarik daripada Marcus Rashford dan sepakan penalti Bruno Fernandes memberikan Manchester United melakar kemenangan 2-0 ke atas Granada semalam sekali gus menyaksikan mereka selangkah menghampiri separuh akhir Liga Europa.

Rashford menjaringkan gol menerusi hantaran lintang daripada Victor Lindelof pada separuh masa pertama di Los Carmenes sebelum Fernandes menambah gol kedua pada minit ke-90.

Keputusan itu menyaksikan United meraih kemenangan selesa dengan dua gol menjelang aksi timbal balik di Stadium Old Trafford untuk menempah tiket ke separuh akhir menentang Ajax atau Roma, yang mana Roma telah memenangi perlawanan pusingan pertama 2-1.

“Menang tanpa bolos dan David de Gea tidak terlalu banyak berdepan masalah,” kata Ole Gunnar Solskjaer.

“Terdapat banyak peluang yang kami terlepas tetapi saya merasakan kami bertahan dengan baik dan 2-0 adalah keputusan yang bagus.”

Rashford kini sudah meledak lapan daripada 23 gol United di kejohanan Eropah pada musim ini.

“Beliau telah mempamerkan persembahan yang sangat baik dan menakjubkan,” kata Solskjaer.

Granada meraikan ulang tahun ke-90 mereka semalam dan tidak pernah beraksi pada perlawanan besar terutama sekali bertemu lawan yang pernah menjuarai Liga Perdana Inggeris sebanyak 20 kali dan tiga gelaran Eropah.

Ia umpama kisah dongeng untuk kelab Sepanyol itu yang menamatkan saingan divisyen kedua di kedudukan ke-10 hanya tiga tahun lalu sebelum jurulatih, Diego Martinez membantu mereka naik ke La Liga dan kemudian meraih tiket ke Liga Europa. – AFP

Aksi pemain Manchester United, Marcus Rashford, ketika mengawal bola semasa perlawanan suku akhir Liga Europa antara Granada dan Manchester United di Stadium Los Carmenes semalam. – AP